Sunday 11 December 2016

TIP MENGHENTIKAN PENGGUNAAN BOTOL SUSU


Kebanyakan anak kecil sangat suka dengan penyusuan menggunakan botol. Selain membekalkan susu untuk diminum, anak kecil merasakan penggunaan botol memberikan mereka perasaan selamat dan selesa.

Tetapi penting bagi ibu bapa untuk mula menceraikan anak kecil dari botol susu ketika usia mencecah 2 tahun. Latih anak anda untuk minum susu dengan menggunakan cawan. Semakin lambat ibu bapa untuk memulakan perubahan ini, maka proses menceraikan penggunaan botol susu akan semakin susah untuk dilakukan.

Mengubah penggunaan botol susu kepada cawan mungkin agak mencabar, jadi saya kongsikan tip berikut untuk memudahkan anda dan anak kecil anda.

Strategi pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan menetapkan satu masa untuk mula melakukan perubahan tersebut. Kebanyakan doktor menyarankan kepada ibu bapa untuk memperkenalkan penggunaan cawan ketika usia seawal 6 bulan. Pada permulaan penggunaan, kebanyakan air atau susu akan tumpah di lantai dan juga badan bayi anda. Kerana pada usia ini bayi anda sudah tentu belum dapat mengawal penggunaan anggota tubuhnya.

Jangan risau, kerana apabila bayi anda mencecah usia 1 tahun, kebanyakan bayi sudah pandai dan cekap untuk memegang cawan dan minum daripadanya. Doktor juga akan menyarankan penukaran susu formula kepada susu lembu pada usia 1 tahun dan dalam pada itu proses penceraian botol susu akan kelihatan lebih wajar untuk dipraktikkan dengan penggunaan cawan.

Sekiranya bayi anda menyusu badan, ini adalah sesuatu yang sangat baik untuk bayi kerana susu ibu penuh dengan khasiat semulajadi yang sangat diperlukan bayi. Tetapi apabila tiba masanya, anda juga perlu melatih dan menawarkan bayi anda untuk meminumnya melalui cawan.

Anda boleh memulakan proses penceraian botol susu secara beransur-ansur pada waktu yang biasa bayi anda menyusu. Jangan lakukan perubahan dengan mendadak kerana bayi anda pasti tidak akan menerimanya. Sebagai contoh, anda boleh mulakan perubahan tersebut semasa waktu makan.

Sekiranya bayi anda biasa menyusu 3 botol sehari, anda boleh mula menghentikan penyusuan botol pada waktu pagi untuk permulaan latihan. Tukarkan penggunaan botol susu kepada penggunaan cawan. Bawa bayi anda ke meja makan. Apabila bayi mula makan, berikannya susu dengan menggunakan cawan.

Di samping itu anda perlu memberi galakan dan penerangan padanya kenapa harus minum susu menggunakan cawan. Contohnya anda boleh berkata kepada bayi anda seperti ini, “Adik sekarang dah besar, jadi adik dah boleh minum guna cawan macam ibu”. Dengan kata galakan dan rangsangan dari anda, sedikit sebanyak bayi anda pasti akan mengikutinya.

Apabila anda sudah berjaya menghentikan penyusuan botol pada waktu pagi, teruskan pula dengan sesi tengahari dan petang dalam tempoh seminggu. Dengan cara tersebut, apabila anak anda meminta susu botol, berikannya jaminan yang susu botol akan diberikan kemudian pada masa lain. Lakukan proses ini berulang kali sehingga bayi anda betul-betul dapat menghentikan penggunaan botol susu.

Botol terakhir yang perlu anda singkirkan adalah di waktu malam. Penggunaan botol susu semasa masuk waktu tidur adalah sebahagian daripada rutin anak kecil. Ini kerana menyusu botol ketika hendak tidur memberikan keselesaan untuk mereka lena. Jadi untuk itu, cuba berikan bayi anda secawan susu semasa makan malam dan sebelum masuk tidur. Jadikan ia rutin malam anda dan si kecil sama seperti anda mengajarnya memberus gigi sebelum tidur.

Tip lain yang perlu anda selalu ingat adalah :
  • Gunakan hanya cawan khas untuk bayi yang mempunyai 2 pemegang ditepi dan lubang-lubang kecil tempat bayi menghirup air. (sippy cup)
  • Beri galakan sambil memberikannya pujian kerana sudah pandai meminum susu menggunakan cawan.
  • Sekiranya anak anda kerap meminta botol susu, kenalpasti keperluan sebenar mereka. Kerana kadang-kadang permintaan mereka terhadap botol susu bukanlah untuk menyusu semata-mata. Kenal pasti, jika anak anda lapar dan haus, berikan mereka dengan penggunaan cawan dan pinggan. Jika anak anda hanya inginkan perhatian anda, berikan mereka belaian dan pelukan. Dan jika mereka hanya bosan, bermainlah dengan anak anda.
  • Dalam proses anda melatih anak anda meminum susu menggunakan cawan, cuba bancuh susu di dalam botol dengan agak cair. Untuk beberapa hari pertama, campurkan setengah botol susu dengan setengah ukuran air. Kemudian beransur-ansur tambahkan lebih banyak air berbanding susu. Lakukan berulang-ulang sehingga keseluruhan botol susu hanyalah air kosong. Pada masa tersebut anak kecil anda akan mula menolak meminumnya dan akan meminta susu yang dibancuh dalam cawan.
  • Jauhkan botol susu dari pandangan anak anda.

No comments:

Post a Comment