Tuesday 20 December 2016

Urat Kaki Timbul Semasa Mengandung Dan Cara Mencegahnya

Urat Kaki Timbul Semasa Mengandung Dan Cara Mencegahnya

Vena varikos, urat timbul atau urat simpul berlaku apabila saluran darah vena (salur darah yang membawa darah dengan kandungan karbon dioksida daripada bahagian badan yang lain ke jantung) mengembang, membesar dan akhirnya bersimpul. Keadaan ini menyebabkan saluran darah yang membiru atau ungu ini timbul dan berpintal dipermukaan kulit.
Secara anatomi, vena di kaki mempunyai 2 bahagian iaitu bahagian permukaan (superficial) di bawah kulit dan bahagian dalam (deep) di dalam otot kaki. Lazimnya vena di bahagian dalam akan membawa darah ke jantung kerana salur darah itu dipam oleh otot kaki dan menghasilkan tekanan yang tinggi. Bagaimana pula vena di bahagian permukaan? Kehadiran beberapa injap mengelakkan darah mengalir ke kaki dan vena ini akan mengalirkan darah ke vena bahagian dalam melalui vena penyambung (connecting vein). Disamping itu injap juga mengelakkan darah yang dialirkan melalui vena penyambung kembali ke vena superficial.
Apabila injap mengalami masalah, maka pengaliran darah menjadi songsang. Pengepaman darah ke jantung tidak dapat dilakukan dengan baik kerana kebocoran berlaku ke vena superficial menyebabkan kandungan darah menjadi banyak dan menyebabkan salur darah mengembang.
urat simpul semasa mengandung

Urat simpul dalam wanita mengandung.

Kehadiran hormon progesteron dan relaxin dalam wanita mengandung menyebabkan dinding saluran darah mengembang sehingga menyebabkan ia timbul ke permukaan kulit. Selain itu, akibat tekanan rahim yang makin membesar turut menjejaskan fungsi injap sehingga berlaku pengumpulan darah pada saluran vena.
Selain daripada kaki, urat timbul juga boleh terjadi di sekeliling atau dalam faraj dan boleh terjadi di bahagian dubur dan menyebabkan buasir. Oleh sebab itu, buasir adalah antara masalah yang kerap terjadi kepada ibu hamil. Namun, keadaan ini akan baik selepas melahirkan anak kecuali jika ibu mengalami urat simpul sebelum mengandung.
Selain daripada itu, individu dengan sejarah varikos vein dalam keluarga dan warga emas mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapat vena varikos.
Biasanya bagi ibu mengandung, jarang sekali urat akan bersimpul, cuma timbul sajalah. Cuma kalau masalah tersebut berulang setiap kali mengandung, mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk.

Faktor risiko yang lain termasuk

  • Banyak berdiri – pekerjaan seperti polis trafik
  • Gaya hidup yang kurang aktif
  • Peningkatan berat badan.

Komplikasi urat timbul

Vena varikos bukan sahaja tidak indah dipandang, malah menyebabkan komplikasi terhadap kesihatan. Walaupun kebanyakan vena varikos tidak menyebabkan komplikasi, namun jika dibiarkan lama tanpa rawatan, mungkin berpuluh-puluh tahun komplikasi mungkin berlaku, namun jarang sekali terjadi kepada ibu mengandung kerana biasanya urat akan kembali normal selepas bersalin. Kecuali jika ibu mengalami masalah yang sama setiap kali mengandung, risiko untuk berlaku komplikasi mungkin ada.
Simptom urat simpul
  • Sakit atau berasa berat pada kaki
  • Bengkak bahagian buku lali
  • Kegatalan
  • Kejang otot
  • Sakit atau lenguh jika berdiri atau duduk dengan lama
Komplikasi yang lebih teruk
  • Keradangan pada salur darah superficial menyebabkan kesakitan dan kemerahan
  • Ekzema pada kulit – Akibat perkumpulan darah di bahagian kulit mengakibatkan warna nya berubah menjadi coklat atau keunguan
  • Ulser pada kulit – Jika darah yang terkumpul di bawah kulit bocor maka akan menyebabkan berlakunya ulser yang susah untuk sembuh kerana bekalan oksigen yang kurang dalam darah.

Cara pencegahan urat simpul

Urat simpul boleh dicegah dengan menguatkan dinding pembuluh darah untuk mengelakkan ia berkembang akibat tindakan hormon. Tapi apabila ibu mengalami keadaan ini semasa mengandung, mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menghilangkan urat simpul. Namun tips berikut boleh dicuba:
  • Baring atau tidur mengiring ke kiri untuk mengurangkan tekanan ke atas vena kava (salur darah besar di hadapan tulang belakang). Letakkan satu bantal di bawah kaki dan satu lagi di belakang.
  • Tinggikan kaki semasa baring atau tidur atau ketika duduk.
  • Elakkan berdiri atau duduk untuk jangkamasa yang panjang. Kerapkan berjalan sekurang-kurangnya dalam tempoh 1-2 jam selepas berehat atau berdiri. Ibu juga boleh lakukan senaman untuk ringkas untuk melancarkan peredaran darah.
  • Elakkan silang kaki ketika duduk.
  • Amalkan diet seimbang untuk mengelakkan kenaikan berat badan mendadak dan terlalu banyak.
  • Memakai stokin khas di atas lutut untuk mengelakkan darah berkumpul di kaki. Mungkin ibu boleh pakai stokin semasa tidur kerana pada ketika itu otot kaki tidak aktif. Tapi pemakaian stokin ini tidak menjamin boleh menghalang berlakunya urat simpul, tapi mungkin boleh mengurangkan rasa tidak selesa.

Bagaimana jika urat simpul tidak hilang?

Ibu akan terus dipantau selepas bersalin, jika didapati urat simpul masih tidak hilang, rawatan lanjut akan ditawarkan.

Vitamin yang dicadangkan untuk mencegah urat simpul

Vitamin B Complex
Membantu masalah urat dan saraf. Selain daripada itu vitamin B3 membantu melancarkan peredaran darah dalam vena dan arteri.
Vitamin C
Vitamin C adalah vitamin larut air yang banyak terdapat dalam darah. Diperlukan untuk pembentukan kolagen, pembentukan kulit dan elastin yang membantu kulit untuk meregang. Tisu-tisu ini diperlukan untuk memastikan dinding vena kuat dan fleksibel.
Vitamin E
Merupakan antioksida yang larut lemak. Vitamin E biasanya terdapat pada sel membran yang terbina daripada lemak. Fungsi vitamin E adalah untuk meneutralkan radikal bebas yang menyerang salur sarah sekaligus menguatkannya.

No comments:

Post a Comment